Sunday, 31 March 2013

Rahsia solat sunat Dhuha



Solat sunat Dhuha ialah solat yang dilakukan pada waktu Dhuha, iaitu pada saat matahari naik lebih kurang segalah(kira-kira pukul 8.00 pagi) sehinggalah matahari berada tepat di tengah-tengah langit (istiwa’). Waktunya ialah selepas waktu solat sunat Isyraq.
            Selain itu, ia juga termasuk di dalam solat yang disyariatkan di dalam  Islam. Solat ini boleh dilakukan sebanyak dua, empat, enam sehingga dua belas rakaat, dan tiap-tiap dua rakaat satu salam.
 Sebagaimana yang kita fahami bahwa setiap amalan yang disukai dan yang dilakukan oleh Rasulullah terkandung banyak hikmat dan fadilatnya. Begitu juga dengan fadilat bagi mereka yang mengerjakan solat Dhuha secara istiqamah. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Siapa saja yang dapat mengerjakan sholat Dhuha dengan istiqamah, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan.”Rasulullah bersabda lagi,“Sholat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara sholat Dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat

Terdapat banyak riwayat yang menyatakan rahsia dan  kelebihan atau keutamaan solat Dhuha ini, antaranya dalam sebuah  hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud dari Abu Dzar r.a. yang bermaksud “Hendaklah setiap kamu bersedekah untuk masing-masing ruas tulang badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kebaikan adalah sedekah, melarang keburukan adalah sedekah, dan sebagai ganti dari semuanya itu, cukuplah mengerjakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat.”
            Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan dari Buraidah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud “Dalam tubuh manusia itu terdapat 360 ruas tulang. Hendaklah dia bersedekah untuk setiap ruas itu.” Para sahabat bertanya “Siapakah yang mampu melaksanakan itu, Ya Rasulullah…? Rasulullah s.a.w. menjawab, “Kotoran yang ada di masjid, lantas ditutupnya dengan tanah, atau menyingkirkan sesuatu gangguan dari tengah jalan itu bererti sedekah. Atau sekiranya sanggup, cukuplah diganti dengan mengerjakan sembahyang Dhuha dua rakaat.”
            Hakim dan Tabrani meriwayatkan dari Nuwas bin Sam’an, bahawa Nabi s.a.w. bersabda, yang bermaksud “ALLAH ‘Azza Wajalla berfirman “Wahai Anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan sembahyang sebanyak empat rakaat pada permulaan siang (solat Dhuha), kelak akan aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya.”
            Ahmad, Tabrani dan Abu Ya’la dari ‘Abd Allah ibn Amr telah meriwayatkan yang bermaksud “Rasulullah s.a.w. mengirimkan satu pasukan tentera lalu mereka banyak mendapatkan harta rampasan dan cepat kembali. Maka orang ramai memperkenalkan betapa cepatnya perang itu selesai dan betapa banyaknya harta rampasan diperolehi dan segera pula kembali. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Mahukah kamu saya tunjukkan sesuatu yang lebih cepat dari peperangan yang semacam itu, lebih banyak pula harta rampasan yang diperolehi bahkan lebih cepat pula kembali daripada itu…? Iaitu seseorang yang berwudhuk kemudian pergi ke masjid untuk melakukan solat Dhuha. Orang itulah yang lebih cepat selesai perangnya, lebih banyak memperolehi harta rampasan akan lebih segera pula kembalinya.”
            Disamping itu, jika kita meneliti dan menghayati doa solat sunat ini, sebenarnya ia mengandungi makna yang mendalam berkaitan rezeki. Kita sebagai hamba sepatutnya kita hendaklah sentiasa meminta daripada Allah s.a.w supaya dimurahkan rezeki kerana kita merupakan hambaNya yang sangat lemah dan tidak mengetahui untung nasib kita pada masa hadapan. Sesuailah dengan salah satu daripada 99 namaNya ialah Ar-Razzaq iaitu Yang Maha Memberi Rezeki.
 Jadi, eloklah kita menunaikan solat ini paling kurang dua atau empat  rakaat setiap hari pada waktu pagi yang tidak perlu kepada bayaran wang sedikit pun. Jika kita benar-benar orang yang berfikir, mengapa kita tidak mampu untuk meluangkan masa bersama Allah dengan hanya 10 minit sahaja, berbanding kita melakukan perkara-perkara lain dengan berjam-jam di hadapan laptop dan sebagainya. Masa yang Allah berikan kepada kita sangat panjang selama 24 jam dalam sehari dan betapa Allah sangat menyayangi hambaNya dengan  menyediakan kepada kita nikmat-nikmat yang tidak ternilai banyaknya. Ambillah sedikit masa untuk menunaikan solat ini tanda kita bersyukur dengan nikmat-nikmat dan rezeki-rezeki yang telah dikurniakn kepada kita setiap hari. Berdasarkan surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatku), maka pasti azabku sangat berat.”
            Demikian itu, rezeki memberi makna yang cukup luas, kesihatan yang Allah berikan kepada kita adalah rezeki, kejayaan juga rezeki, mendapat anak yang soleh juga rezeki, mendapat kerja juga rezeki, dapat merasai makanan yang enak juga rezeki, dapat membeli kereta juga rezeki dan setiap apa yang Allah berikan kepada manusia adalah rezeki. Rezeki benar-benar merupakan rahsia daripada Allah kerana jika benar-benar Allah tetapkan rezeki itu kepada kita, walaupun ia berada di langit, di laut atau jika payah mana sekalipun dengan izin Allah tetap Allah berikan kepada kita. Berdasarkan doa solat Dhuha yang bermaksud “Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu Dhuha Mu, kecantikannya adalah kecantikan-Mu, keindahannya adalah keindahan-Mu, kekuatannya adalah kekuatan-Mu, kekuasaannya  adalah kekuasaan-Mu, perlindungannya adalah perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezkiku  di langit, turunkanlah, jika di bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, kecantikan Mu, keindahan Mu, kekuatan Mu dan kekuasaan-Mu. Limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”
 Berdasarkan makna doa ini, sebenarnya kita tidak mempunyai apa-apa, setiap anggota-anggota dan harta-harta kepunyaan kita hanyalah pinjaman daripadaNya, buktinya disaat setiap manusia meninggal dunia kita tidak akan membawa segala apa yang kita usahakan di dunia samada wang berjuta-juta ringgit, kereta yang mewah, rumah yang besar, dan sebagainya. Kita hanya pergi dengan pakaian yang serba putih peneman kita hanyalah amalan-amalan kita di dunia, jika baik amalan itu maka beruntunglah, jika jahat amalan itu, maka akan merasai azab yang pedih daripada Allah s.w.t.
Dengan menunaikan solat ini juga, manusia akan mendapat ketenangan. Apabila sebut pasal ketenangan semua manusia mahukan ketenangan. Ia  sukar untuk ditafsirkan kerana ia lahir dari dalam jiwa manusia. Tiada siapa yang mengetahui isi hati manusia hanyalah  Allah. Ketenangan memainkan peranan yang sangat penting bagi setiap manusia, ia merupakan sesuatu yang amat menarik kerana sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata, hanya boleh dirasai bagi sesiapa yang merasainya. Jika manusia itu mempunyai kekayaan sekali pun belum tentu akan dapat merasainya. Kadang-kadang orang fakir atau miskin lebih merasai ketenangan daripada orang kaya, kerana ketenangan itu perlu dicari dalam diri manusia itu sendiri. Orang miskin masih boleh merasai ketenangan berbanding orang kaya yang punya segala kemudahan dan kemewahan, kerana mereka sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka ada. Sebaliknya orang kaya mereka akan rasa gelisah jika mereka tidak mendapat apa yang mereka inginkan menyebabkan hati dan jiwa mereka berasa keluh kesah. Betapa pentingnya kaya jiwa daripada kaya harta kerana orang yang kaya jiwa, biasanya mereka adalah orang  yang bersyukur dengan apa yang ada(Qanaah).
Berbalik kepada rahsia solat sunat Dhuha, kita sebagai hambaNya sentiasalah kita mengingati Allah dengan cara melakukan solat sunat ini. Berdasarkan surah Ar-Ra’d ayat 28 bermaksud:(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.

           

           
           
           
           

No comments:

Post a Comment

 
Free Blogger Templates